JOHOR BAHRU – Seorang bekas Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk membela diri atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM10,000, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Zulfadli Nayan, 43, pada akhir kes pendakwaan.
Peguam, Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili tertuduh kemudian memberitahu mahkamah,anak guamnya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah ketika prosiding bela diri.
Beliau turut memberitahu mahkamah,pihaknya akan mengemukakan antara tujuh atau lapan saksi ketika prosiding bela diri yang dijadualkan selama tujuh hari iaitu pada 8, 13 dan 14 Januari; 17 dan 20 Februari serta 3 dan 4 Mac 2025.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong.
Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang kini digantung tugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Hubungan dan Koordinasi Antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal di sini, pukul 10 malam pada 2 Oktober 2020.
Mohd Zulfadli didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 September 2020.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette