KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengemukakan rayuan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin diperintah membayar faedah terhadap ganti rugi RM1.35 juta kerana memfitnahnya berhubung status pengecualian cukai Yayasan Albukhary.
Guan Eng berkata, bekas Perdana Menteri sepatutnya membayar faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh pemfailan samannya pada 27 Mac 2023 sehingga penyelesaian penuh hutang.
Notis rayuan itu difailkan pada 29 November lalu melalui Tetuan Guok Partnership selepas Guan Eng tidak berpuas hati dengan sebahagian keputusan Hakim Roz Mawar Rozain pada 8 November lalu.
Mahkamah Tinggi ketika itu memerintahkan Muhyiddin membayar Guan Eng RM1.35 juta sebagai ganti rugi dan kos RM50,000 berhubung tiga kenyataan berunsur fitnah yang disiarkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam laman Facebook pada Mac 2023.
Hakim Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Sehubungan itu, beliau memerintahkan Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan.
Isnin lalu, Roz Mawar memberikan penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin berhubung pembayaran ganti rugi dan memerintahkan beliau membayar RM400,000 kepada Guan Eng sebelum 31 Disember ini.
Muhyiddin pada 9 Disember lalu, memohon pembayaran ganti rugi yang keseluruhan berjumlah RM1.402 (termasuk kos dan alokatur) ditangguhkan sementara menunggu rayuannya diputuskan dengan alasan jumlah penghakiman adalah besar, dan beliau memerlukan masa untuk mengumpul amaun berkenaan. – MalaysiaGazette