KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengarahkan aktiviti perlombongan oleh dua syarikat di Sungai Kelaik, Gua Musang, Kelantan dihentikan kerana dikhuatiri menyebabkan pencemaran sungai tersebut.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan siasatan yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pematuhan kedua-dua syarikat terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati Syarikat Aqua Orion Sdn. Bhd. telah menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan di bawah subseksyen 34A (3), justeru kertas siasatan akan dibuka dengan segera di bawah subseksyen 34A (6).
Sementara itu, katanya, bagi Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn. Bhd.), hasil siasatan mendapati premis itu tidak beroperasi di mana tiada sebarang kerja-kerja mengorek bijih besi atau memproses bijih besi dijalankan.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta 127 sekiranya didapati penggerak projek gagal mematuhi mana-mana syarat kelulusan Laporan EIA bagi memastikan pelaksanaan projek dapat mengurangkan dan meminimakan kesan kepada reseptor sensitif alam sekitar.
“JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan supaya PTG Negeri Kelantan menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong kepada pihak Syarikat Aqua Orion Sdn. Bhd. sehingga Laporan EIA dikemukakan untuk penilaian dan kelulusan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Nik Nazmi, pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di tapak projek dan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta 127 akan diambil tindakan perundangan yang tegas.
Jelas beliau, sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah berhadapan dengan hukuman penjara mandatori selama tempoh tidak melebihi 5 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihiRM1 juta.
“Kementerian komited dan mengambil tindakan tegas dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebastol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial keadaan keadaan Sungai Kelaik, Gua Musang yang bertukar menjadi merah seolah-olah berkarat yang didakwa penduduknya disebabkan oleh aktiviti perlombongan bijih besi. – MalaysiaGazette