Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa supaya kos pengurusan keseluruhan operasi Lembaga Tabung Haji dan anak syarikatnya dinilai semula susulan kenaikam bayaran haji kira-kira 20 peratus tahun hadapan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ia bertujuan memastikan tiada pembaziran sumber dan ketirisan supaya dana, aset dan keuntungan Tabung Haji (TH) dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu bakal jemaah haji golongan B40 dan M40.

Selain itu, menurut beliau, kos operasi TH dalam pengurusan ibadah haji termasuk kos penghantaran petugas dan pengurusan tertinggi ke Tanah Suci juga perlu dinilai semula.

Jelasnya, ia supaya perbelanjaan dapat diminimumkan dan penjimatan itu disalurkan untuk membantu mengurangkan kos jemaah.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan perlu menyemak semula polisi berkaitan TH dan mencari pendekatan yang dapat membantu mengurangkan kos mengerjakan haji serta meningkatkan pendapatannya.

Selain itu, ujar beliau, kerajaan juga perlu menyemak, meneliti dan memantau pengurusan dana dan pelaburan Tabung Haji bagi memastikan pulangan yang lebih tinggi dan manfaat itu dapat dipanjangkan kepada bakal jemaah, khususnya golongan B40 dan M40.

Menurutnya lagi, kerajaan juga perlu memperkukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi untuk mencari kaedah dan kerjasama strategik bagi mengurangkan kos mengerjakan haji bagi jemaah Malaysia.

“Kami menegaskan kerajaan dan Tabung Haji tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini.

“Pertumbuhan aset dan keuntungan yang dicapai setiap tahun seharusnya dimanfaatkan untuk membantu rakyat, bukan membebankan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambah Tun Faisal Ismail, alasan istito’ah’ atau kemampuan yang digunakan TH untuk mewajarkan kenaikan kos tahun hadapan tidak boleh diterima sama sekali.

Sebaliknya, tegas beliau, TH perlu lebih berusaha untuk mencari sumber dana alternatif dan memastikan pengurusan kewangan yang lebih cekap.

“Kegagalan ini menggambarkan kelemahan pengurusan TH sebagai pemudah cara kepada umat Islam Malaysia melaksanakan rukun Islam kelima,” katanya.

Apatah lagi, ujar beliau, data menunjukkan keuntungan TH dan jumlah aset meningkat secara konsisten setiap tahun, misalnya mencatat keuntungan tahunan daripada RM1.8 bilion pada 2019 kepada RM2.3 bilion pada 2023.

Selain itu, katanya, jumlah aset yang diuruskan TH juga bertambah daripada RM86.6 bilion pada 2021 kepada RM89 bilion pada 2022.

Dalam masa sama, ujarnya, jumlah tabungan pendeposit turut menunjukkan trend positif, meningkat daripada RM69.4 bilion pada 2019 kepada RM89 bilion pada 2023.

“Pertumbuhan keuntungan dan aset ini membuktikan TH mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pihak TH dan kerajaan untuk memastikan peningkatan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengekalkan kos mengerjakan haji pada kadar yang berpatutan tanpa membebankan rakyat,” katanya.

Kelmarin, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman memaklumkan, bayaran haji bagi tahun 2025 naik 20 peratus bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 dan M40 susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci.

Bagi tahun 2025, kadar bayaran bagi jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama ditetapkan pada RM15,000 berbanding RM12,356 seorang pada 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here