KUANTAN – Harga sayur-sayuran tempatan telah mencatatkan kenaikan 150 peratus dalam tempoh dua minggu lalu sepanjang musim banjir di negara ini.
Peniaga sayur, Yusaini Arif Abu Bakar, 54, berkata, kenaikan harga lebih sekali ganda harga pasaran sayur itu disebabkan kekurangan bekalan dan kerosakan tanaman akibat banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini.
”Kenaikan 150 peratus sayuran hijau berdaun seperti bayam, kangkung, sawi, kailan dan daun sup. Bagaimanapun harga sayuran import kekal seperti bunga kobis.
“Bayam merah, kalau dulu dijual sekitar RM4 hingga RM5 sekilogram tapi sekarang naik ke RM12. Kangkung pula daripada RM3 atau RM4 kini mencecah RM10 sekilogram.
“Sayur jenis berbuah pula seperti labu air, terung, peria dan timun tua juga mengalami kenaikan sekitar 100 peratus,” katanya.
Menurut Yusaini yang sudah 32 tahun menjual sayur, fenomena itu normal dan dilalui saban tahun setiap kali musim banjir.
Ini kerana stok bekalan sayur mencukupi di kebun namun ia rosak dan berkurangan menyebabkan kenaikan harga melonjak.
Seorang lagi peniaga sayur, Siew Kim, 60, turut mendakwa kenaikan harga barangan dijangka naik sepanjang musim hujan sehingga menjelang Tahun Baru Cina tahun depan.
Beliau yang sudah 45 tahun berniaga di Pasar Besar Kuantan di sini mendakwa ekoran banjir semakin surut, harga sayur kini semakin turun berbanding minggu lalu.
Katanya, pelanggan berhak memilih untuk membeli atau tidak apabila harga melambung tinggi pada musim Monsun Timur Laut (MTL).
”Keberangkalian naik mungkin sebab hasil tanaman di Cameron Highlands yang mungkin terjejas disebabkan MTL. Barang kurang tapi harga naik.
“Cuma sayur import seperti kobis, bunga kubis dan cili merah import masih stabil dan cukup bekalan,” katanya lagi.
Berbeza dengan penjual sayur kampung, Azizah Awang, 67, yang menjual pucuk paku dan ulam-ulaman yang masih mengekalkan harga biasa dan tidak berubah meski pun pada musim banjir.
“Harga sayur kampung tak berubah. Saya jual pucuk paku dan ulam-ulam serendah RM2 satu ikat. Alhamdulillah sambutan tetap baik kerana sayur kampung tidak terjejas dengan musim hujan. Lagipun jual murah-murah,” ujarnya.
Sementara itu, pembekal sayur, A. Francis, 55, memberitahu, pihaknya terpaksa membeli dari pelbagai pihak kerana kesukaran mendapatkan stok dan tanaman rosak akibat musim tengkujuh.
”Sayur-sayuran sukar didapati dan terpaksa ke beberapa lokasi termasuk luar daripada Pahang. Kalau Kuantan kekurangan bekalan, kami terpaksa beli dari Kuala Lumpur,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Harga sayuran di pasaran stabil Mac tahun depan – Mohamad Sabu