Polis melakukan siasatan ke atas kereta Perodua Myvi yang ditinggalkan suspek di Jasin, Melaka selepas melakukan cubaan samun bersenjata di Muar.

MUAR – Tular dalam Facebook beberapa video kejadian dua lelaki bertopeng melakukan pecah rumah dan samun bersenjata di sebuah rumah di Taman Sri Treh, di sini semalam.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan masa dan tarikh kejadian berlaku pada pada pukul 5.21 petang, semalam.

Dalam video pertama, seorang suspek memegang senjata tajam menyorok di sebalik tembok pintu pagar sementara sebuah kereta Perodua Myvi memasuki garaj rumah terbabit dipercayai dipandu rakan sepenjenayah terbabit.

Kedua-dua suspek dilihat memakai sarung tangan dan membawa senjata seperti parang dan besi kuku kambing berjalan masuk ke rumah mangsa.

Dalam video berikutnya salah seorang suspek yang memakai baju hitam, bertopi serta memakai pelitup muka memasuki ruang tamu dan pada masa sama kelihatan penghuni iaitu seorang wanita dan seorang kanak-kanak sedang tidur atas sofa.

Seorang lagi suspek dilihat memasuki satu bilik rumah terbabit menyelongkar mencari barang berharga.

Tidak lama kemudian, dua lelaki dipercayai ahli keluarga rumah berkenaan tiba dan cuba memeriksa Perodua Myvi sebelum mangsa diserang kedua-dua suspek menggunakan senjata parang.

Suspek menghidupkan enjin Perodua Myvi dan merempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dan motosikal yang diparkir di hadapan rumah.

Suspek kemudiannya berjaya melarikan diri dengan Perodua Myvi berwarna putih.

Difahamkan, seorang mangsa cedera terkena libasan parang ketika bergelut dengan suspek.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis menemui kereta Perodua Myvi ditinggalkan dalam garaj sebuah rumah di Jasin, Melaka kira-kira pukul 11.30 pagi tadi dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun berkenaan.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan suspek yang terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian samun terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor P Seventhi menerusi talian 011-16251909 atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar ditalian 06-9526001,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here