KUALA LUMPUR – Malaysia-ASEAN International Trade Expo (MASTEX 2024) yang berlangsung dari 17 hingga 19 Disember ini di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC) di sini menghimpunkan usahawan tempatan dan syarikat terkemuka untuk menjalin kerjasama serta memperkukuh jaringan perniagaan.
Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA) adalah salah satu NGO keusahawanan yang terlibat dalam program anjuran Malaysia China Summit 2024 (MCS 2024) yang menyokong pertumbuhan keusahawanan melalui bimbingan secara langsung, termasuk akses kepada pelbagai agensi keusahawanan dan syarikat terlibat.
Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, pogram selama tiga hari itu menjadi platform terbaik kepada usahawan untuk meningkatkan jaringan perniagaan dan mempromosikan industri perniagaan masing-masing.
“Pengunjung dapat berinteraksi dengan pelbagai syarikat, menghadiri sesi bual bicara antaranya Learn From Experts In Pocket Talk, Women Entrepreneurs dan menyertai sesi jaringan perniagaan yang dapat membantu memperluas peluang kerjasama.
“Peluang ini juga memberi ruang untuk memperkukuh akses pasaran eksport ke luar negara bagi usahawan selain meneroka peluang perniagaan ke negara lain yang terlibat dalam pameran ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Program yan sama turut menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara DPIA dan beberapa syarikat.
Antara yang terlibat menerusi Mastex 2024 dan MCS 2024 adalah Malaysia Halal Product, Invest Kedah, Invest Kelantan, Halal International Selangor, CIDB Malaysia, Guangzhou Jumiai Technology Co. Ltd, Jiaxing Tony Imp & Exp Co. Ltd dan banyak lagi.- MalaysiaGazette