KUALA LUMPUR – Seorang penganggur akhirnya ditahan polis kerana berkelakukan tidak sopan dengan merakam dari bawah kain seorang wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, suspek tempatan berusia 30-an itu ditahan hari ini sekitar kawasan Banting.
“Susulan itu, lelaki terbabit direman dua hari sehingga esok bagi siasatan lanjut dibawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, dia mengaku terlibat dalam kejadian itu dan kali pertama melakukan perbuatan sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis giat mengesan seorang lelaki didakwa merakam dan gangguan seksual di sebuah pasar raya di Jenjarom.
Mohd Akmalrizal Radzi memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada mangsa merupakan seorang wanita pada jam 10.36 pagi, 9 Disember lalu.
Mangsa menyedari perbuatan itu dan pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati lelaki itu mengangkat kainnya serta merakam ke arah bawah kain. – MalaysiaGazette