Pegawai penyiasat jabatan kesihatan melakukan pemeriksaan di sebuah restoran di Skudai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Sekumpulan pekerja sebuah restoran di Skudai yang mengutip sayur dari tong sampah mendakwa sayuran itu bagi kegunaan sendiri dan bukan untuk dijadikan hidangan kepada pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, perkara itu dimaklumkan pekerja restoran terbabit ketika pegawai penyiasat pejabat kesihatan menjalankan siasatan semalam.

“Pekerja tersebut mengakui mengambil sayur-sayuran yang dilonggokkan di tepi tong sampah roro untuk kegunaan sendiri dan rakan serumah.

“Pegawai penyiasat mendapati ketika itu beberapa individu lain juga sedang menjalankan aktiviti mencari makanan di lokasi dimaksudkan.

“Hasil pemeriksaan dalam peti sejuk di restoran berkenaan mendapati sayur-sayuran  dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, pemilik premis berkenaan juga tampil mengemukakan bukti pembelian sayur dari beberapa pemborong sayuran untuk dimasak dan dijadikan hidangan di restoran terbabit.

Bagaimanapun katanya, ketika siasatan dijalankan, markah pemeriksaan premis tersebut berasaskan risiko adalah 70 peratus.

“Ini berikutan pemilik premis gagal memastikan premis dalam keadaan bersih dan pengendali makanan juga gagal menggunakan pakaian pengendali makanan dengan lengkap,” katanya.

Semalam portal ini mendedahkan restoran berkenaan berdepan dakwaan serius apabila tular video memaparkan pekerjanya mengutip sayur-sayuran dari tong sampah untuk dijadikan bahan masakan kepada pelanggan.

Video berdurasi 31 saat yang dimuat naik dalam TikTok kelmarin memaparkan beberapa wanita, dipercayai pekerja restoran terbabit, mengambil barangan daripada tong sampah di sebuah lorong.

Pemilik restoran berkenaan kemudian tampil dalam TikTok menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan dakwaan berkenaan adalah perbuatan sabotaj oleh individu tidak bertanggungjawab.

Malah pemilik restoran juga memaklumkan dia mempunyai bukti pembelian sayur, sekali gus n menyangkal dakwaan dilemparkan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here