Peminat-peminat aktiviti memancing tidak melepaskan peluang untuk meluangkan waktu petang mereka untuk memancing ikan pating sungai yang hanya muncul setahun sekali selepas musim banjir, ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Gate 2, Tumpat. Foto SADIQ SANI, 6 DISEMBER 2024

Oleh : Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin

Ikan alien sekilas pandang

DIBERI betis, nak peha, kini mereka membanjiri sistem sungai dan tasik pula!”

Itulah fenomena yang berlaku di sungai dan tasik seluruh negara, yang sedang
dibanjiri ikan alien atau ikan pendatang.

Ramai dikalangan pencinta alam, selain persatuan dan kumpulan persendirian
menyatakan kebimbangan terhadap kebanjiran ikan alien ini.

Contohnya seperti ikan keli Afrika, ikan bandaraya, ikan baung ekor merah, ikan
peacock bass dan banyak lagi.

Kesemua ikan alien berasal dari negara luar, dan bukannya ikan tempatan atau asli
dari Malaysia. Kebanyakannya di import dari negara seperti Amerika Selatan, Afrika,
dan Thailand, sebagai ikan hiasan, dan ada juga yang di bawa masuk sebagai ikan
ternakan akuakultur.

Masalah berlaku apabila ikan hiasan membesar dan pemilik tidak lagi mahu
membelanya. Maka, ikan hiasan ini dilepaskan ke dalam parit, sungai, dan tasik.

Begitu juga dengan ikan ternakan akuakultur, apabila berlaku banjir, kolam serta
sangkar ternakan melimpah keluar dan pecah. Beribu ikan alien terlepas ke perairan
negara.

Kesannya amatlah dahsyat. Di sesetengah tempat, hanya ikan alien sahaja yang
boleh ditemui. Ikan tempatan atau ikan asli, sudah tidak lagi dijumpai.

Ikan tempatan atau ikan asli ini termasuklah ikan lapam sungai, ikan haruan, ikan
toman, ikan keli kampung, dan banyak lagi. Ikan-ikan asli kini diancam kepupusan!

Kajian pemancing terhadap ikan alien

“Tapi, apakah pendapat pemancing tentang ikan alien? Ada spesies yang menjadi
kegemaran mereka?”

Satu kajian telah dijalankan untuk mengukur tahap “kegemaran pemancing”
terhadap 16 spesies ikan alien. Seramai 132 pemancing telah menjawab soalan
kajian ini.

Enam belas ikan alien ini termasuklah: ikan keli Afrika, ikan tilapia merah, ikan tilapia
hitam, ikan mayan, ikan kap atau koi, ikan peacock bass butterfly, ikan peacock bass
temensis, ikan patin Siam, ikan patin Chaophraya, ikan bandaraya, ikan arapaima,
ikan largemouth bass, ikan baung ekor merah, ikan pacu, ikan rohu, dan ikan catla.

Tiga respon yang dapat dikumpulkan:

Pertama, ikan alien yang “tidak digemari” pemancing adalah ikan bandaraya.
Kedua, ikan alien “sederhana digemari” pemancing adalah ikan mayan, ikan koi,
ikan pacu, ikan rohu, dan ikan catla.

Selebihnya, ikan-ikan tersebut temasuk dalam respon ketiga, iaitu menjadi
“kegemaran pemancing”.

Malah dalam banyak-banyak ikan alien ini, tiga spesies kelihatan penting bagi
pemancing iaitu ikan tilapia, ikan peacock bass, dan ikan patin (termasuklah patin
Siam dan patin Chaophraya).

Mungkin ikan-ikan ini penting kerana daya “melawan” atau “tarikan” mereka. Selain
itu, mungkin juga kerana “nilai” ikan tersebut, iaitu mudah untuk dijual dan enak
untuk dijadikan lauk santapan malam.

Justeru, walaupun dikatakan ikan alien banyak mendatangkan mudarat kepada
ekosistem, ikan-ikan ini tetap mendapat tempat serta mempunyai kepentingan
kepada pemancing.

Pengurusan berkesan ikan alien

“Apa yang boleh dilakukan, jika ada pemancing yang suka dengan ikan alien?”

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan membentuk pengetahuan dan
kesedaran yang jitu tentang “ikan alien” dikalangan rakyat.

Lebih banyak kempen dan program kesedaran perlu dilaksanakan. Ini boleh dilaksanakan
oleh agensi yang mengurus sumber perikanan, universiti tempatan, selain pihak NGO dan
pihak berkepentingan yang lain.

Pengetahuan tentang kewujudan ikan alien ini masih rendah dikalangan rakyat. Apa
spesiesnya? Apa mudaratnya? Apa yang perlu dilakukan apabila tertangkap ikan alien?

Strategi yang mampan serta peruntukan yang besar diperlukan. Ini terutama dalam
menjalankan program, aktiviti serta kempen bagi mengeluarkan ikan alien dari perairan
negara.

Sebagai contoh, kempen yang dijalankan oleh agensi kerajaan baru-baru ini, dalam
menggalakkan tangkapan “ikan bandaraya” dan “ikan baung ekor merah”, dengan
membayar sejumlah RM bagi setiap kilogram ikan yang ditangkap, haruslah dipuji.

Kempen sebegini harus diperluaskan di seluruh negara serta melibatkan spesies ikan alien
yang lain juga.

Selain itu, Amalan “Tangkap-dan-Simpan” (atau “Catch-and-Keep”) boleh dijadikan sebagai solusi bagi kebanjiran ikan alien. Ini terutamanya di kalangan pemancing yang memancing di perairan semulajadi negara. Mereka perlu tangkap dan simpan ikan alien yang telah dipancing.

Kawalan import ikan alien juga perlu dikuatkuasakan sepenuhnya. Hanya kepada
pengimport yang benar-benar mematuhi piawaian biosekuriti yang telah ditetapkan.

Ini kerana, jika “larangan terus” dikuatkuasakan, perkara ini pasti akan mengganggu
kerancakan industri perikanan rekreasi di Malaysia.

Sebagai contoh, “pemancing buruan besar” yang memburu ikan bersaiz mega, seperti ikan arapaima atau ikan patin Chaophraya, keluar memancing semata-mata untuk memburu ikan alien ini. Perbelanjaan memancing mereka menyumbang kepada ekonomi setempat sekali gus kepada industri perikanan rekreasi negara.

Maka, langkah proaktif dalam mengawal kebanjiran ikan alien, serta pengurusan yang
berkesan, haruslah diperkemas dan diperketatkan. Lebih banyak kajian bersifat ilmiah perlu dijalankan, terutama dalam mendapatkan “persepsi” serta “kepentingan ikan alien”
dikalangan pengguna (termasuk pemancing).

Umpama menarik rambut di dalam tepung, langkah kawalan dan penyelesaian perlulah di
lakukan dengan cekap dan bijak, serta dalam kadar yang segera. Kebanjiran ikan alien
masih boleh di rawat, sebelum semuanya terlambat.

Penulis dari Perikanan Rekreasi
Jabatan Akuakultur
Fakulti Pertanian, UPM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here