Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang anggota penguat kuasa dipercayai meminta wang suapan kira-kira RM80,000 daripada seorang wanita.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 40-an itu menghubungi wanita berkenaan pada 30 Nov lepas susulan tangkapan dibuat terhadap suaminya dan meminta wang rasuah kononnya bagi membantu membebaskan suaminya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Menerusi perbualan telefon itu, suspek telah meminta wang terbabit sebagai balasan bagi mengubah keterangan untuk membantu suaminya dilepaskan daripada tahanan.

“Suspek meminta wang pendahuluan kira-kira RM25,000 daripada wanita itu yang kemudian membuat beberapa pindahan wang menerusi sistem pembayaran e-dompet membabitkan nilai kira-kira RM3,000,” katanya dalam kenyataan.

Sumber itu berkata pada Isnin, suspek sekali lagi telah menghubungi wanita berkenaan dan meminta wang kira-kira RM2,000 secara tunai.

Wanita itu kemudian menyerahkan wang kira-kira RM1,000 kepada suspek pada pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua, kira-kira 2 petang tadi sebelum suspek ditahan.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki berkenaan, katanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown esok bagi permohonan reman. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here