KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia pada November 2024 mencatatkan peningkatan 2.9 peratus daripada RM231.1 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM237.8 bilion.
Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan eksport 4.1 peratus atau RM5.0 bilion dan import 1.6 peratus, mencapai RM111.3 bilion.
Lebihan dagangan meningkat 26.3 peratus kepada RM15.3 bilion, lebihan bulan ke-55 berturut-turut sejak Mei 2020 berbanding Oktober 2024.
Selain itu, imbangan dagangan meningkat 26.3 peratus kepada RM15.3 bilion pada November 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia meningkat selaras dengan kenaikan eksport domestik pada November 2024.
Eksport domestik (83.3% daripada jumlah eksport) meningkat 10.3 peratus berbanding November 2023, dengan nilai RM105.4 bilion, manakala eksport semula (16.7% daripada jumlah eksport) jatuh 18.7 peritus kepada RM21.2 bilion.
Di samping itu, import bernilai RM111.3 bilion, meningkat 1.6 peratus.
Eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 1.2 peratus, 4.3 peratus dan 2.7 peratus.
Sebaliknya, imbangan dagangan mencatatkan pertumbuhan 28.8 peratus.
Melihat dari sudut kumpulan barangan, 123 daripada 259 kumpulan eksport dan 129 daripada 258 kumpulan import menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Menurut beliau, eksport yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya ke Amerika Syarikat (+RM7.4 bilion), diikuti oleh Taiwan (+RM2.5 bilion), Kenya (+RM645.2 juta), India (+RM497.9 juta), Bangladesh (+RM382.4 juta), Mexico (+RM265.9 juta) dan New Zealand (+RM220.9 juta).
Selain itu, peningkatan import pula disumbangkan terutamanya dari China (+RM2.3 bilion), diikuti oleh Taiwan (+RM2.1 bilion), Mexico (+RM784.5 juta), Chad (+RM659.8 juta), India (+RM460.6 juta), Switzerland (+RM410.8 juta) dan Cameroon (+RM375.3 juta).
“Kenaikan ini sejajar dengan peningkatan dalam barangan elektrik & elektronik (+RM5.6 bilion); barangan perkilangan lain (+RM2.3 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan kelapa sawit (+RM1.2 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM1.2 bilion); produk getah (+RM406.3 juta); kimia & bahan Kimia (+RM365.6 juta); dan barang kemas (+RM270.2 juta).
“Selain itu, peningkatan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM6.6 bilion); keluaran pertanian yang lain (+RM536.1 juta); minyak sayuran lain (+RM358.1 juta); makanan diproses (+RM286.8 juta); gas asli cecair (+RM189.6 juta); dan keluaran perkilangan lain (+RM185.1 juta),” katanya dalam kenyataan di sini.
Jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga November 2024 mencatatkan peningkatan 8.7 peritus daripada RM2.4 trilion kepada RM2.6 trilion, sejajar dengan kenaikan eksport (+4.7%) serta import (+13.3%).
Sebaliknya, lebihan dagangan berkurang 42.0 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023 mencatatkan nilai RM117.9 bilion. – MalaysiaGazette