KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Februari tahun depan bagi memutuskan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan dua yang lain untuk membatalkan saman pemula bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim berhubung pemecatannya daripada parti itu.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam mewakili Mohd. Azizi yang dinamakan sebagai plaintif dalam saman pemula itu.
Chetan Jethwani berhujah bagi pihak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan setiausaha agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin manakala Awang Armadajaya Awang Mahmud berhujah mewakili Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Peguam Persekutuan, M. Kogilambigai pula berhujah mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada prosiding tersebut, Awang Armadajaya membantah saman pemula itu ekoran kegagalan pihak plaintif menamakan ADUN Nenggiri yang baharu, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai salah seorang defendan.
Sebaliknya, plaintif memohon memasukkan Datuk Kapt (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai defendan kelima atas alasan beliau adalah pegawai awam Bersatu.
“Hak untuk didengar sepatutnya diberikan kepada Mohd. Azmawi iaitu calon yang memenangi pilihan raya dan jika saman pemula dibenarkan, beliau yang paling banyak menerima kesannya.
“Sebaliknya, plaintif memohon pada saat-saat akhir menamakan Muhammad Suhaimi sebagai defendan kelima atas alasan beliau pegawai awam Bersatu.
“Kegagalan menamakan Mohd. Azmawi jelas melucutkan haknya untuk didengari. Defendan-defendan lain tidak akan kehilangan apa-apa secara peribadi dalam tindakan ini walaupun parti itu mungkin kehilangan satu atau dua kerusi,” hujah Awang Armadajaya.
Sehubungan itu, beliau berhujah saman pemula itu wajar dibatalkan atas alasan ia remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Sementara itu, Chetan menggunapakai hujah Awang Armadajaya dan menegaskan supaya Mohd. Azmawi dinamakan sebagai salah seorang defendan.
Sementara itu, Rajan Navaratnam yang mewakili Mohd. Azizi memberitahu mahkamah,pihaknya berkemungkinan akan menarik balik saman terhadap SPR.
Melalui saman pemula difailkan 24 Jun lalu, Mohd. Azizi memohon pengisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan PRK di kawasan DUN berkenaan serta memohon perisytiharan tiada kekosongan kerusi di kawasan itu.
Mohd. Azizi juga memohon pengisytiharan PRK bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan oleh SPR kerana mendakwa beliau masih penyandangnya.
Turut dipohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah tidak sah.
Mohd. Azizi juga memohon pengisytiharan surat makluman daripada Mohd. Amar kepada SPR bahawa kerusi DUN Nenggiri kosong dan digantung perlaksanaannya. – MalaysiaGazette