IPOH – Polis sedang giat menjejaki seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden kecurian wang di sebuah rumah di Taman Klebang Putra, Chemor di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, susulan kejadian itu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun iaitu mangsa tampil membuat laporan polis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek telah memasuki pekarangan hadapan rumah tersebut dengan memanjat tembok rumah jiran.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki terbabit memasuki kereta milik isteri mangsa yang tidak berkunci dan melarikan wang yang diletakkan di dalam dashboard kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ibrahim Ab Wahab di talian 019-822 5877 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan,“ ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang lelaki memakai baju hud dan bertopi masuk ke sebuah perkarangan sebuah rumah.
Lelaki terbabit kemudian bertindak masuk ke dalam salah sebuah kereta dan kemudiannya dilihat membawa sesuatu keluar daripada kenderaan berkenaan. – MalaysiaGazette