Presiden Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Brendon Gan (tiga kanan) melakukan himpunan aman mengenai menentang pencabulan hak kebebasan akademik oleh Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) di Hadapan Kementerian Pengajian Tinggi, Jalan P5/6, Presint 5, 62200 Putrajaya. Turut hadir Setiausaha Eksekutif Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Alyaah Hani Anuar (tengah). Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) menuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung tindakan siri pembatalan beberapa program anjuran aktivis mahasiswa di universiti awam.

Presiden HARAM, Brendon Gan berkata, pihaknya mahu penjelasan mengenai insiden tutup lampu dalam Forum Warga Tidak Bernegara: Anak Haram di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), pameran Ruang Khas Siasatan Terhadap Kematian S Balamurugan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan penolakan kelulusan VIBE Festival 2024 di UIAM.

“Pihak KPT menyatakan kenyataan ini akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan terutamanya HEP di universiti yang terlibat dimana mereka akan diobligasikan untuk memberikan satu penjelasan berkenaan program yang telah disekat mahupun dibatalkan,” katanya dalam satu sidang media di pejabat KPT hari ini.

Sebelum itu aktivis HARAM dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menghantar tuntutan itu kepada wakil KPT bagi menuntut penjelasan berhubung pembatalan ketiga-tiga program berkenaan.

Tuntutan itu diserahkan kepada Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Hafizi Rosli di pekarangan kementerian berkenaan.

Setiausaha Eksekutif Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, Alyaah Hani Anuar pada sidang media mengenai menentang pencabulan hak kebebasan akademik oleh Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) di Hadapan Kementerian Pengajian Tinggi, Jalan P5/6, Presint 5, 62200 Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 DISEMBER 2024.

Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif HARAM, Alyaah Hani Anuar berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan pihak pengurusan USM yang turut membatalkan program pameran Ruang Khas Siasatan Terhadap Kematian Balamurugan.

“Pihak Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM perlu memberikan penjelasan yang jelas, telus dan rasional di sebalik pembatalan program Pameran Ruang Khas: Kronologi Siasatan Kematian Balamurugan.

“Program ini adalah kerjasama Kelab Sains Politik (KESPOL) USM bersama SUARAM yang memakan usaha persiapan yang banyak. Mengapa dibatalkan pula pada saat-saat akhir?” soal Alyaah.

Sementara itu, menurut Hafizi, KPT yang bertanggungjawab atas perihal universiti dan kebajikan mahasiswa amat komited untuk memberikan penjelasan namun ia hanya akan dikeluarkan melalui universiti-universiti berkenaan.

“KPT komited untuk terus memperkasakan hak mahasiswa dan satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh IPT berkaitan bagi menjelaskan situasi sebenar.

“KPT berpandangan wakil-wakil pelajar akan terus dilibatkan dalam sesi libat urus untuk meneliti apa-apa peruntukan atau tuntutan mereka untuk mencapai situasi menang-menang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, SUARAM menyatakan rasa kecewa apabila sebuah universiti tempatan menolak permohonannya untuk mengadakan jelajah pameran mengenai kronologi kematian Balamurugan yang meninggal dunia ketika dalam tahanan.

Ini selepas pihak universiti itu dikatakan menganggap pameran itu sebagai terlalu sensitif dan anti kerajaan.

Malah pihaknya sudah berusaha untuk mendapatkan persetujuan pensyarah, fakulti dan dewan di universiti berkenaan  namun dimaklumkan permohonan mereka ditolak oleh Bahagian Hal Elwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) semalam selepas dua hari sebelum pameran itu dijadualkan berlangsung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here