KUALA LUMPUR – Polis menyambung reman ke atas guru taska yang dipercayai mendera bayi berusia 11 bulan di sebuah taska di Puncak Alam, Selangor sehingga Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, wanita berusia 24 tahun itu juga akan didakwa di mahkamah atas kesalahan mengasari dan mendera bayi lelaki terbabit.
“Tempoh reman ke atas guru taska itu akan disambung sehingga Jumaat ini. Selepas tempoh reman tamat, suspek akan terus didakwa di mahkamah.
“Setakat ini, seramai lima orang saksi telah diambil keterangan berhubung kes penderaan ke atas mangsa,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Tambahnya, mangsa mengalami sedikit kecederaan pada bahagian telinga namun bukan disebabkan perbuatan dipiat.
Mohd Hafiz juga memaklumkan semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sijil tauliah menjadi guru taska.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita tempatan ditahan kerana mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah taska.
Suspek yang juga guru taska itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada Sabtu, jam 6.50 petang.
Tangkapan dibuat susulan laporan bapa mangsa yang menyatakan terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya. – MalaysiaGazette