KUALA LUMPUR – Cawangan Perisikan Siasatan Khas, Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar berjaya menyelesaikan 136 kes dengan 387 orang tangkapan dan nilai rampasan berjumlah lebih RM434 juta sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia merupakan kejayaan yang dilakarkan melalui Op Bersepadu Khazanah, Op Tiris, Op Kontraban, Op E-Waste dan banyak lagi.
Menurut beliau, cawangan itu turut bekerjasama dengan National Resources Environment and Sustanability (NRES) dan United Nation Development Programmed.
Jelasnya, ia bertujuan meningkatkan kapasiti penguatkuasaan dalam membanteras jenayah hidupan liar serta pemuliharaan spesies haiwan ikonik khususnya Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, Banteng di Sabah dan Orang Utan di Sarawak.
Selain itu, tambah Razarudin, sepanjang tahun ini juga, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut memberi impak positif menerusi pelbagai kategori tangkapan dan rampasan dengan jumlah keberhasilan bernilai lebih RM279 juta.
Di samping itu Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) juga telah melaksanakan 34 serbuan dengan 76 tangkapan dan nilai rampasan berjumlah RM37.1 juta.
“Tidak ketinggalan, Pasukan Polis Marin (PPM) telah menumpaskan 7,103 kes jenayah di perairan negara melibatkan pelbagai kesalahan seperti aktiviti pembalakan tidak sah, penyeludupan barang kawalan, dadah, hidupan liar, mercun dan penggunaan bahan letupan dalam aktiviti perikanan, dengan nilai rampasan dan saman berjumlah RM210 juta,” katanya.
Beliau berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Bulan Disember 2024 anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA) di Bukit Aman hari ini.
Menurut Razarudin, kejayaan-kejayaan itu menunjukkan tekad setiap elemen dalam KDNKA dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam dari sebarang aktiviti penyeludupan, kontraban, ancaman keganasan, krisis bencana, kacau ganggu awam dan keselamatan pintu masuk utama negara.
“Saya berharap momentum kecemerlangan ini dapat dipertingkatkan pada tahun 2025 akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada 51 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianugerahkan Sijil Tolak Rasuah PDRM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lebih membanggakan seramai 11 orang daripada jumlah tersebut merupakan penerima Sijil Tolak Rasuah SPRM.
“Selain itu, tindakan elemen PGA menolak sogokan RM50,000 dari sindiket penyeludupan migran semasa penugasan Op Wawasan Taring di Kelantan juga menjadi suatu kebanggaan.
“Saya berharap keperibadian berintegriti kesemua penerima diteladani dan menjadi ikutan semua warga PDRM,” katanya. – MalaysiaGazette