KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah selesai menjalankan siasatan ke atas YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) dan mendapati syarikat ini bebas daripada kes salah laku berkaitan perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion.
“Kami ingin mengumumkan bahawa kami telah menerima pengesahan daripada SPRM bahawa ia telah menamatkan penyiasatannya dan menentukan bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap YTL Comms,” kata YTL Power International Bhd. kepada Bursa Malaysia.
YTL Comms adalah anak syarikat kepada YTL Power International.
Pada 4 September lalu, SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Comms iaitu anak syarikat YTL pada 2011.
Difahamkan kes ini disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009.
1BestariNet dimulakan pada 2011 ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Pendidikan. – MalaysiaGazette