KUALA LUMPUR – TM mengesahkan berlakunya insiden kecurian kabel baru-baru ini yang melibatkan kontraktor dan anggotanya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
Menurutnya, TM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
“Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan, kami tidak dapat memberikan sebarang ulasan lanjut buat masa ini.
“TM tidak bertoleransi terhadap sebarang salah laku dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan, selaras dengan komitmen kami untuk menegakkan standard tertinggi integriti dan akauntabiliti di seluruh organisasi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah TM, kecurian kabel adalah satu kesalahan serius yang mengancam keselamatan nyawa, mengganggu perkhidmatan penting yang diperlukan oleh rakyat Malaysia setiap hari, serta memberi impak kepada komuniti.
Oleh itu, TM menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan dengan segera dengan membuat panggilan kepada 999 atau melaporkannya di balai polis berdekatan.
TM juga komited untuk memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan infrastruktur digital negara dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mencegah insiden sebegini pada masa hadapan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia atas komitmen dan tindakan pantas mereka dalam menangani kes-kes kecurian
kabel,” ujarnya. – MalaysiaGazette