Beginilah keadaan kereta seorangi warga emas maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lagi kereta di Kilometer 56.5, Jalan Batu Pahat - Mersing hari ini.

KLUANG – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lagi kereta yang dipandu seorang guru di Kilometer 56.5, Jalan Batu Pahat – Mersing dekat sini hari ini.

Kejadian itu membuatkan kereta mangsa terbalik, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin.

Kejadian berlaku pukul 9 pagi itu melibatkan Lau Yuen Heng, 78, yang memandu kereta Nissan Almera dan kereta Toyota Vios dipandu Mohamad Hafiz Muhamad, 34.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika warga emas berkenaan dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Taman Megah manakala Mohamad Hafiz datang dari Batu 3 ke Bandar Kluang.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, warga emas berkenaan dikatakan secara tiba-tiba memasuki simpang kanan menghala ke Taman Megah.

“Mohamad Hafiz yang datang daripada arah hadapan tidak sempat mengelak serta memberhentikannya kenderaannya sebelum berlaku perlanggaran di bahagian tepi sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Mohd Azmi berkata, akibat perlanggaran itu, kenderaan warga emas berkenaan terbalik dan menyebabkannya cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohamad Hafiz pula, katanya, cedera ringan di badan dan masih menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk menerima rawatan.

Mayat mangsa dirujuk ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Saifulfadly Karim berkata, kemalangan tersebut menyebabkan warga emas berkenaan tersepit.

“Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan yang hadir. Pihak bomba memberikan rawatan terhadap pemandu Toyota Vios berkenaan.

“Seramai lapan anggota dibantu masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat. Operasi selesai pukul 9.33 pagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here