KUALA LUMPUR – Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Setiawangsa memberi jaminan, insiden lif terhempas di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Taman Setapak Jaya di sini akibat fasiliti itu yang usang tidak akan berulang pada masa depan.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2024/12/MGF19122024_PPR-DESA-REJANG-7.jpg)
Pegawai Khasnya, Khusairi Aizad Jamaluddin berkata, sebagai pengantara, pihaknya akan memastikan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan menyegerakan proses pemasangan 13 lif baharu di perumahan itu.
“Kita akan hubungi segera pihak tersebut (JKKP) untuk menyegerakan segala permintaan penduduk PA Desa Rejang.
“Kita difahamkan ada lif di Blok D yang terhempas, saya harapkan pejabat Parlimen, kita akan minta segera (hubungi) pihak JKKP.
“Kita mahu perkara ini selesai secepat mungkin supaya perkara ini tidak berlanjutan lagi dan tidak timbul isu-isu lif selepas ini. Kita akan gesa pihak berwajib laksanakan lif ini secepat mungkin,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2024/12/MGF19122024_PPR-DESA-REJANG-LIF-TERHEMPAS-1.jpg)
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Pengerusi Persatuan Penduduk PA Desa Rejang, Ismail Shaari mendesak JKKP membuat pemeriksaan dengan kadar segera ke atas 13 lif baharu untuk perumahan itu.
Ismail berkata, JKKP tidak perlu menunggu sehingga 30 Disember ini kerana masalah lif ‘uzur’ berusia lebih 20 tahun itu sudah berlarutan sejak 2019 perlu diatasi segera demi kemaslahan penghuninya.
Minggu lalu, MalaysiaGazette difahamkan penduduk di Blok D, Desa Rejang, Taman Setapak Jaya, di sini berdepan detik cemas apabila fasiliti itu dilaporkan terhempas dari tingkat sembilan.
Sebelum kejadian, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan lif penumpang itu digunakan empat individu dipercayai penduduk di kawasan berkenaan.
Menurut Khusairi, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad juga memberi jaminan sama agar isu lif uzur itu diatasi segera dalam lawatannya ke tempat kejadian, Ahad lalu.
“Seperti mana perancangan Fasa Pertama untuk pertukaran (lif) baharu, kita nak apa yang penduduk suarakan hari ini dibawa ke atas segera untuk dilaksanakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Penduduk PA Desa Rejang desak JKKP segerakan pemasangan lif baharu, bantah baiki lif usang