Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Wan Mohd Hasbi Haliq.

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menggesa semua pihak memberi perhatian serius bagi mengelak insiden buli di institusi pengajian tinggi (IPT) seperti kes terbaharu yang dilaporkan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) daripada terus berulang.

Ketuanya, Wan Mohd Hasbi Haliq berkata, pihak pentadbiran IPT perlu mengambil langkah segera dalam menangani budaya negatif seperti keganasan, buli dan kekasaran di kampus.

Ujar beliau, pentadbiran IPT juga perlu melaksanakan program pembangunan sahsiah dan memperkukuh mekanisme pengawasan supaya nilai-nilai murni terus diterapkan dalam kalangan mahasiswa.

“Pemuda Amanah Terengganu menasihati seluruh mahasiswa supaya menjauhi tindakan melibatkan keganasan dan menyelesaikan sebarang konflik dengan cara yang berhemah serta matang.

“Universiti adalah medan pembentukan kepimpinan masa depan dan bukannya tempat bagi budaya yang merosakkan generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, polis menahan seramai 12 penuntut UMT bagi membantu siasatan kes buli ke atas seorang penuntut universiti terbabit sehingga mangsa mengalami kecederaan teruk.

Kejadian itu berlaku pada Ahad lalu, di Kolej Kediaman Pelajar Lelaki universiti terbabit, kira-kira pukul 1 hingga 5 pagi.

Mangsa yang merupakan penuntut Jurusan Perakaunan berusia 21 tahun dipercayai dipukul secara bergilir-gilir, dicekik, ditendang, ditumbuk dan dipukul dengan objek tumpul.

Sementara itu, Wan Mohd. Hasbi berkata, pihaknya percaya polis akan menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh bagi memastikan pihak yang bersalah dikenakan tindakan tegas.

Jelasnya, insiden itu amat mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan mahasiswa yang seharusnya menjadi contoh generasi berilmu dan berakhlak.

“Kejadian ini perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan insiden sama berulang dan bagi memastikan keselamatan pelajar di universiti terus terjamin.

“Pemuda Amanah berhasrat untuk menziarahi mangsa bagi menyampaikan sokongan moral dan mendengar sendiri keadaan beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast