KUALA LUMPUR – Majlis makan malam amal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA) Night of Love & Compassion yang berlangsung Sabtu lalu berjaya mengutip dana lebih RM500,000 daripada penderma.
Presidennya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menzahirkan penghargaan buat dua penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan yang memeriahkan majlis dengan persembahan memukau mereka.
“Sebenarnya, acara ini bukanlah dianjurkan setiap tahun. Kali pertama kami laksanakan 20 tahun lalu. Selepas itu, kami hilang sekejap. Bila dana sudah kering, baru kami buat semula,” katanya.
Muhammad Nasir bersyukur apabila sambutan orang ramai terhadap majlis makan malam amal mendapat sambutan memberangsangkan.
“Pada petang sebelum acara bermula masih ada orang mahu tempah meja untuk melihat persembahan mereka. Tapi, tidak boleh kerana sudah penuh.
“Kalau mahu boleh ambil ruangan galeri atas pentas. Akhirnya mereka setuju untuk beli tempat di galeri itu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai majlis, Muhammad Nasir memberitahu, ia antara lain bertujuan sebagai platform untuk ahli dan orang ramai menderma demi menjaga kebajikan pelajar memerlukan.
“Makan malam ini juga bertujuan untuk menyebarkan kasih sayang kepada pelajar yang memerlukan bantuan terutama anak yatim dan orang miskin,” tambahnya.
Dilaporkan, majlis itu berjaya menjual sebanyak 83 meja makan malam.- MalaysiaGazette