KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Puad Zarkashi merayu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Sabah supaya jangan merobohkan rumah keluarga Allahyarham Sarjan Abd Azis Sarikon.
Beliau mahu jalan penyelesaian dicari bagi memastikan balu kepada anggota polis yang terkorban pencerobohan tentera Kiram di Kampung Simunul, Semporna itu terbela.
“Allahyarham Abd Azis Sarikon asal Rengit Batu Pahat. Sebagai ADUN Rengit saya harap jasa allahyarham dikenangi. Jangan habis madu sepah dibuang.
“Tidak patut rumah isteri Allahyarham Sitti Bandorah asal Semporna mahu dirobohkan.
“Kita menang saman Raja Kiram di Mahkamah Belanda. RM62.5 bilion diselamatkan tetapi rumah keluarga perajurit negara tidak diselamatkan,” katanya dalam kenyataan.
Abd Azis antara enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap oleh pengganas bersenjata di Kampung Simunul, Semporna.
Sebelum itu, sebuah portal melaporkan isteri arwah, Sitti Bandorah Mahalil kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang mahu merobohkan rumahnya yang dikaitkan dengan pencerobohan taman laut di Semporna.
Menurut Sitti, anggota dari pelbagai agensi termasuk polis dan Taman Sabah datang ke kampung mereka dan mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing.- MalaysiaGazette