KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri agar kesemua 17 pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Beliau berpendapat, permohonan itu mempunyai merit kerana pertuduhan tidak menyatakan elemen penting kesalahan yang didakwa dilakukan oleh Rosmah.
Menurut Hakim Muniandy, pertuduhan tidak mendedahkan unsur-unsur utama kesalahan untuk pengubahan wang haram serta urus niaga yang melibatkan pengubahan wang haram.
Selain itu, ujarnya, wang yang dirujuk dalam pertuduhan tidak mendedahkan transaksi seperti yang digambarkan manakala aktiviti yang menyalahi undang-undang itu juga tidak didedahkan.
“Tetapi hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, muncul entah dari mana. Tanpa menyatakan secara spesifik transaksi yang dilakukan, bagaimana untuk mengaitkan tertuduh dengan kesalahan yang dilakukannya.
“Mesti ada urus niaga yang terlibat yang mencerminkan urusan tertuduh dengan pendapatan yang tidak didedahkan,” demikian menurut Hakim Muniandy ketika membacakan alasan penghakiman ringkas kira-kira 30 minit.
Hakim Muniandy selanjutnya berkata, Seksyen 153 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) memperuntukkan bahawa pertuduhan perlu mengandungi butiran mengenai kesalahan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan supaya notis dapat diberikan kepada tertuduh untuk menjawab pertuduhan terhadapnya.
Beliau menjelaskan, hak urus niaga, aktiviti yang menyalahi undang-undang, hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, serta berurusan dengan hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang merupakan elemen yang terkandung dalam kesalahan pengubahan wang haram.
“Pertuduhan tidak memberikan tertuduh notis yang mencukupi berhubung perkara yang didakwa dilakukannya,” ujarnya.
Dalam penghakiman itu, beliau berkata, tuduhan bukan sahaja dipelbagaikan malah terdapat pertindihan yang mana ia menyalahi undang-undang.
Menurut hakim berkenaan, Seksyen 163 CPC memperuntukkan bahawa bagi setiap kesalahan yang berbeza, tertuduh perlu didakwa atas pertuduhan berasingan dan perbicaraan berlainan.
“Apa yang tinggal daripada pertuduhan tersebut hanyalah kegagalan mengisytiharkan pendapatan yang hanya menjadi satu kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan,” ujar beliau.
Pada 12 November lalu, mahkamah selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam permohonan Rosmah untuk menggugurkan kesemua 17 pertuduhan terhadapnya.
Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018. – MalaysiaGazette