CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini melancarkan Pertandingan Video Pendek yang berkonsepkan keterjaminan air dalam negara.

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, pengurusan air daripada penggunaan sehingga kesedaran tahap pencemarannya dalam negara perlu disebarkan.

Sehubungan itu ujarnya, pertandingan ini diwujudkan.

“Kita sedang berdepan dengan krisis iklim bukan hanya di negara ini malah seluruh dunia. Kesannya terhadap bekalan air adalah serius sebab 81 peratus air yang kita minum datangnya dari sungai dan kalau kita ada masalah dengan sungai yang kita sedang hadapi sekarang, maka bekalan air untuk minuman akan menjadi masalah di masa depan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran pertandingan itu, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pertandingan berkenaan memfokuskan penyertaan dalam kalangan generasi muda.

“Selalunya kita fokus orang dewasa tapi kita mahu ubah strategi sebab sudah tiba masanya kesedaran kebersihan dan pengurusan air kembali kepada generasi muda, dan kita mahu mereka menyedari tentang polisi kegunaan air dan pengurusannya juga berkaitan dengannya termasuklah masalah pencemaran air,” ujarnya.

Terdahulu beliau dalam ucapannya berkata, konsep keterjaminan air perlu difahami oleh semua pihak.

“Tanggungjawab untuk memastikan kelestarian sumber air bukan hanya terletak pada kerajaan atau agensi seperti SPAN, tetapi adalah tanggungjawab setiap individu,” ujarnya.

Pertandingan ini tidak hanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam masa yang sama mencetuskan perubahan tingkah laku masyarakat.

Pertandingan berkenaan terbuka kepada tiga kumpulan sasaran utama iaitu pelajar sekolah, mahasiswa universiti dan belia berumur 18 hingga 35 tahun.

Peserta bukan sahaja digalakkan menghasilkan video yang mengetengahkan isu seperti kesan perubahan iklim terhadap sumber air, pencemaran sumber air serta tanggungjawab individu dalam pemeliharaan air tetapi yang berpotensi memberikan inspirasi positif dalam penggunaannya.

“Kami mahukan setiap video menjadi suara yang membawa mesej perubahan, membuka mata masyarakat terhadap nilai air sebagai asas kehidupan, dan memupuk budaya kelestarian dalam setiap lapisan komuniti,” tambahnya.

Dalam pada itu katanya, SPAN menawarkan hadiah wang tunai antara RM1,500 hingga RM5,000 bagi pertandingan ini.

“Pelajar sekolah: RM1,500 (tempat pertama), RM1,000 (tempat kedua), RM500 (tempat ketiga); Mahasiswa universiti: RM3,000 (tempat pertama), RM2,000 (tempat kedua), RM1,000 (tempat ketiga); Belia 18 hingga 30 tahun: RM5,000 (tempat pertama), RM3,000 (tempat kedua), RM1,500 (tempat ketiga),” jelas Charles.

Pertandingan video pendek ini menandakan bermulanya Kempen BijakAir yang akan bermula Januari tahun depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here