PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membentangkan laporan berkaitan penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pada 1 Mac tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, laporan itu mengambilkira beberapa perkara oleh Pasukan Khas RMT yang ditubuhkan kementeriannya sebelum ini.
Menurut beliau, ia termasuk isu kos dan pelaksanaannya sama ada pelajar sekolah benar-benar terkesan dengan khasiat menu atau pun memenuhi keperluan mereka selain isu pemantauan dan juga penyediaan.
“Jadi ini semua akan dibentangkan dalam rangkuman laporan berkaitan RMT itu nanti kerana kita ada 20 menu RMT yang bertukar-silih ganti menunya setiap hari untuk anak-anak kita dan ia mesti dipantau dan dipastikan nutrisi itu tepat dengan keperluan anak-anak.
“Yang seterusnya adalah bagaimana kita melihat RMT ini harus memenuhi keperluan-keperluan itu, mesti dipantau oleh pentadbir dan selepas kita melihat bahawa ada beberapa perkara yang perlu kita tambah baik.
“Jadi ini semua akan dibentangkan dalam rangkuman laporan berkaitan RMT itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPM di kementeriannya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina menambah, RMT berperanan untuk membantu membudayakan pemakanan sihat di kalangan pelajar.
“Kedua adalah program intervensi kemiskinan untuk yang kita sebut sebagai memastikan anak-anak B40 ini mendapat khasiat yang secukupnya apabila mereka berada di sekolah.
“Naratif itu kena tepat dan kita bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia memastikan menu-menu itu memenuhi semua nutrisi dan keperluan anak-anak kita dan dibantu oleh pakar-pakar nutrisi,” katanya. – MalaysiaGazette