KUANTAN – Majlis Biodiversiti Pahang telah membuat penilaian terhadap 81 permohonan kajian yang diterimanya melalui Sistem Access and Benefit-sharing Clearing-house (MyABS-Malaysia).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak 24 permohonan diterima dan dinilai sistem yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Manakala bidang fauna merupakan skop bidang penyelidikan tertinggi bagi tahun 2024. Secara keseluruhannya sebanyak 51 kajian telah diluluskan sehingga November 2024,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Majlis Biodiversiti Pahang (MBP) telah ditubuhkan pada 1 Januari 2022 selaras dengan penguatkuasaan Enakmen Biodiversiti Pahang 2021 (Enakmen 24).
Ia merupakan agensi yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Semenanjung Malaysia yang bertindak menyelaras aktiviti-aktiviti melibatkan pemeliharaan, penyelidikan dan penggunaan berterusan sumber-sumber biologi dan biodiversiti.
Pada peringkat negeri pula, Majlis Biodiversiti Pahang mempunyai peranan penting sebagai Pihak Berkuasa Kompeten (CA) yang menguatkuasakan Akta Akses Kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 [Akta 795] dan bertanggungjawab dalam pengurusan akses dan perkongsian faedah seperti mengeluarkan permit dan mengutip fi.
Selain itu, ia juga menyelenggara rekod selain mengemukakan pelaporan berkala kepada Pihak Berkuasa Kompeten Kebangsaan (NCA).
Susulan itu, bagi menambah kualiti pengurusan permohonan kajian di negeri ini, Mesyuarat Ahli Majlis Biodiversiti Pahang Bilangan 1 Tahun 2024 pada 15 November lalu bersetuju untuk menganjurkan Bengkel Pemantapan Pengurusan Kajian Penyelidikan Biodiversiti Negeri Pahang.
“Ia bertujuan untuk meneliti prosedur sedia ada serta mencadangkan penambahbaikan bagi permohonan menjalankan kajian penyelidikan dan penggunaan berterusan sumber biologi dan biodiversiti di negeri ini yang akan menjadi rujukan semua pihak terlibat terutama kalangan penyelidik tempatan mahu pun luar negara.
“Pengajaran bengkel ini akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi yang mempunyai kepakaran dalam bidang biodiversiti selain penglibatan penyelidik yang dikenal pasti supaya kerajaan negeri memastikan pengurusan akses kepada sumber-sumberbiologi negeri dapat dikawal selia dengan efektif selaras dengan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya.
Kerajaan Pahang juga akan sentiasa memastikan usaha-usaha murni seperti ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tadbir urus terpelihara di samping mengukuhkan agenda memelihara sumber biologi dan biodiversiti yang merupakan khazanah negeri yang sangat berharga. – MalaysiaGazette