KUALA LUMPUR- Malaysia dan Turkmenistan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan hari ini sempena lawatan rasmi Presiden Turkmenistan ke Malaysia.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan berkata, kolaborasi strategik ini adalah bukti komitmen kedua-dua negara ke arah memupuk persefahaman bersama, pertukaran budaya, dan pertumbuhan ekonomi melalui lensa pelancongan.
Tambahnya, objektif utama MoU itu adalah untuk mengukuhkan dan memajukan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pelancongan demi faedah bersama pembangunan sosio-ekonomi penduduk di kedua-dua buah negara.
“Berdasarkan peruntukan dalam MoU, beberapa bidang kerjasama utama seperti pertukaran maklumat dan amalan terbaik, menggalakkan kerjasama antara pihak berkepentingan, mempromosikan lawatan dan penyertaan dalam pameran, serta menyokong pembangunan pelancongan mampan dan hijau telah dikenal pasti dan akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun (2024-2034),” katanya.
MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, mewakili Kerajaan Malaysia, dan Atageldi Ashirovich Shamuradov, Menteri Kebudayaan, mewakili Kerajaan Turkmenistan. -MalaysiaGazette