KLUANG – “Dia yang masuk bilik air saya, saya pula yang disalahkan.
“Mata kanan saya lebam kerana ditumbuk oleh wanita itu. Saya minta kurangkan wang jaminan kerana masih mentah,” ujar Muhamad Sopor@Nasir, 34, yang merayu jumlah ikat jamin RM10,000 dikurangkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Rayuan tertuduh yang tidak bekerja itu dibuat dalam keadaan selamba hingga membuatkan semua yang mengikuti pendakwaan kes berkenaan ketawa.
Tertuduh menjawab demikian dalam prosiding kes berkenaan semasa Hakim Mujib Saroji bertanya kepada tertuduh mengapa mata kanannya lebam.
Terdahulu Muhamad mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 24 tahun dengan tujuan mencabul kehormatannya.
Tindakan itu didakwa dilakukan di tandas awam wanita Laman Kreatif Kampung Melayu di sini pada pukul 5.30 petang kelmarin.
Mujib mengenakan ikat jamin tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman jika disabitkan kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Suniza Nan Yan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula di hadapan Majistret pada 21 Januari ini.
Semalam portal ini melaporkan, seorang lelaki diberkas selepas disyaki mencabul seorang wanita di dalam tandas awam di Laman Kreatif Kampung Melayu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin dilaporkan berkata, kejadian berlaku pukul 5.20 petang kelmarin membabitkan seorang peniaga wanita yang ingin menggunakan tandas di padang permainan itu.
Ujarnya, siasatan mendapati suspek tidak bekerja dan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah namun ujian air kencing negatif daripada pengaruh sebarang jenis dadah.- MalaysiaGazzete
ARTIKEL BERKAITAN: