KUALA LUMPUR- Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) mengumumkan telah menarik diri daripada konsortium MyHSR yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, konglomerat itu memberitahu, Perjanjian Berpasukan itu akan tamat selepas 30 hari daripada tarikh Notis Penamatan dikeluarkan.
“MRCB ingin mengumumkan telah mengeluarkan Notis Penamatan kepada Berjaya Rail bagi menamatkan Perjanjian Berpasukan bagi menghantar kertas cadangan konsep tidak mengikat (non-binding conceptual proposal) kepada MyHSR Corporayion Sdn Bhd melibatkan projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura,” katanya.
Sementara itu, syarikat induk Berjaya Rail, Berjaya Corporation Bhd. turut mengesahkan perkara tersebut.
Dalam kenyataannya, Berjaya Corp berkata, ia telah dimaklumkan MRCB bahawa syarikat berkenaan sedang meninjau peluang strategik lain dan dengan itu tidak lagi menjadi sebahagian daripada Konsortium KL-SG HSR.
Untuk rekod, konsortium itu dianggotai Berjaya Rail, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), IJM Corporation Bhd (IJM) serta rakan teknikal seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail, dan Hyundai Rotem. -MalaysiaGazette