Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.

KUANTAN – Satu operasi khas secara besar-besaran akan dilaksanakan di Pahang menjelang tahun 2025 bagi mengekang haiwan ternakan berkeliaran terutama di jalan raya di negeri ini.

Menurut Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak, tindakan kompaun minimum RM500 bagi setiap ekor haiwan ternakan yang ditangkap boleh dikenakan kepada penternak.

“Kita sudah beri nasihat kepada penternak. Responnya tidak memberangsangkan dan kejadian-kejadian termasuk kemalangan berlaku. Kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan.

“Saya akui peranan penternak dalam memperkasa agenda keterjaminan makanan tapi setiap satu aktiviti itu ada peraturannya,” katanya ketika di temui di sini hari ini.

Mohd Soffi memberitahu, sejak Januari sehingga 31 Oktober 2024, Jabatan Veterinar Pahang menerima sebanyak 41 aduan berkaitan ternakan berkeliaran termasuk yang mengakibatkan kemalangan meragut nyawa.

Berikutan itu, sebanyak 18 operasi mengikut Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 (EKKL) secara bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak FELDA telah di jalankan sejak Januari sehingga Oktober 2024.

Mengulas lanjut, Mohd Soffi berkata, haiwan ternakan yang dirampas pihak berkuasa akan ditahan sehingga tempoh 14 hari sebelum dilupuskan jika tidak dituntut penternak masing-masing.

“Jika 14 hari jika tak tebus, maka pihak berkuasa boleh melupuskan dengan kaedah bersesuaian seperti lelong, jual atau sembelih,” kata Mohd Soffi lagi.

Dalam pada itu, Jabatan Veterinar negeri juga telah meneliti perundangan bagi mewajibkan penandaan ternakan sama ada tagging atau freeze branding melibatkan Akta Binatang atau enakmen negeri bagi menangani isu berkaitan pendaftaran dan penandaan ternakan.

Penambahbaikan perundangan tersebut akan dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri kelak untuk diluluskan.

Sebagai rekod, di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 Seksyen 9 (1), mana-mana orang yang bertanggungjawab ke atas kerbau lembu yang didapati berada di dalam kawasan larangan adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara minimum setahun atau kedua-dua bagi kesalahan membiarkan ternakan berkeliaran di kawasan larangan.

Kawasan larangan yang dinyatakan di bawah Enakmen Kawalan Kerbau Lembu 2001 adalah permukaan jalan, kawasan dalam lingkungan 20 meter dari bahu jalan dan semua tempat awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here