SHAH ALAM – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori dalam kejadian berhampiran stesen minyak di Persiaran Mokhtar Dahari di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, pada kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 33 tahun cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika sebuah lori berhenti di bahu jalan untuk kerja pemasangan iklan di tiang lampu di kiri jalan.
“Kemudian mangsa yang menunggang motosikal dari arah sama untuk pulang ke rumahnya dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian kanan belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ramsay, mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Shah Alam untuk di bedah siasat dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354. – MalaysiaGazette