Allahyarham Lan Zailan

KUALA LUMPUR – Pelakon veteran, Lan Zailan, 66, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini awal pagi tadi.

Beliau yang menghidap kanser pankreas tahap empat itu meninggal dunia pukul 4.24 pagi.

Berita sedih itu dikongsi isteri allahyarham Lan, Ruby Sara Omar, 51.

“Kami semua ada di sisi arwah ketika hembus nafas terakhir. Saya dan anak-anak ambil peluang itu untuk meminta maaf daripadanya.

“Arwah pergi dalam keadaan tenang… Semuanya berlaku dengan lembut sahaja. Arwah sangat kuat dalam melawan sakit,” katanya kepada BH Online.

Sehari sebelum itu, Lan dibenarkan pulang tetapi dikejarkan semula ke unit kecemasan zon merah pusat perubatan itu, pada sebelah malam, Ahad lalu.

Ruby dilapor berkata, bacaan oksigen suaminya baik namun keadaannya agak teruk hingga doktor meminta semua anggota keluarga berkumpul dan berada di sisi arwah.

Ketika itu, Ruby dilapor menjelaskan, doktor memberitahu, virus kanser aktif sudah masuk ke paru-paru kiri arwah suami, sekali gus boleh mengakibatkan pelbagai kemungkinan.

Ruby berkata, arwah suami sempat menunggu salah seorang anak yang datang dari Muar, Johor untuk bertemu buat kali terakhir.

“Ketika ini, kami masih di PPUM untuk menunggu proses seterusnya. Insya-Allah, jenazah arwah akan dibawa ke Puchong untuk pengebumian, hari ini,” katanya.

Menurutnya, hajat suaminya untuk bercakap dengan temannya, Ebby Yus tercapai, semalam dan mereka berhubung melalui panggilan video.

Allahyarham Lan menjalani rawatan di PPUM sejak 27 November lalu.

Sebelum ini, media melaporkan doktor meramalkan jangka hayat Lan atau nama sebenar, Zailan Kamaruddin Mohd, hanya tiga bulan selepas kanser merebak ke hati dan paru-paru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here