BATU PAHAT – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM240,000 terhadap Pengarah dan syarikat pembungkus minyak masak paket selepas didapati memberi maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat penjualan minyak masak.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pengarah dan syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 8(4)(B) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau memberitahu, kesalahan dikesan ketika pemeriksaan dilakukan pasukan penguat kuasa KPDN cawangan Batu Pahat susulan audit hasil minyak masak paket di sebuah premis di Tongkang Pechah, di sini, pada pukul 10.30 pagi 22 November tahun lalu.
“Tertuduh telah didakwa di mahkamah kerana telah menimbulkan syak munasabah bahawa ianya telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memberi maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat penjualan minyak masak.
“Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, Firdaus Ruslan sementara tertuduh diwakili peguam Tan Song Yang. Tertuduh faham dengan pertuduhan dan telah mengaku bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan.
“Seorang lelaki tempatan, Mohd Nazib Jamean, 46, yang merupakan pengarah syarikat pembungkus minyak masak paket, telah dijatuhkan hukuman denda RM90,000 dan sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda manakala syarikatnya pula didenda RM150,000.
“Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh turut memutuskan agar kesemua hasil jualan minyak masak yang berjumlah RM62,000 dilucut hak dan dijadikan hasil kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPDN Johor menegaskan akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang–undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan demi kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette