Seorang anggota penguat kuasa direman kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM80,000 daripada seorang wanita konon bagi membantu membebaskan suaminya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA 2012).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan reman seorang anggota penguat kuasa kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM80,000 daripada seorang wanita konon bagi membantu membebaskan suaminya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA 2012).

Perintah reman selama lima hari sehingga 23 Disember 2024 terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an disyaki telah menghubungi wanita berkenaan pada 30 November lalu susulan tangkapan dibuat terhadap suami wanita terbabit.

“Menerusi perbualan telefon itu, suspek telah meminta wang kira-kira RM80,000 daripada wanita berkenaan sebagai balasan bagi mengubah keterangan untuk membantu suaminya dilepaskan daripada tahanan SOSMA.

“Suspek telah meminta wang pendahuluan kira-kira RM25,000 daripada wanita berkenaan yang kemudian membuat beberapa pindahan wang menerusi sistem pembayaran e-wallet membabitkan nilai kira-kira RM3,000,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, pada Isnin lalu, suspek sekali lagi telah menghubungi wanita berkenaan dan meminta wang kira-kira RM2,000 secara tunai.

“Susulan itu, wanita berkenaan kemudian menyerahkan wang kira-kira RM1,000 kepada suspek dalam pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua kira-ra jam 2 petang tadi sebelum ditahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here