KUALA LUMPUR- Permohonan bagi rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1446H/2025M melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 19 Disember 2024 sehingga 31 Januari 2025.
Ketua Jabatan Haji Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun berkata proses rayuan haji dibuka lebih awal bagi mengelakkan proses rayuan haji dilakukan pada saat-saat akhir.
TH katanya, akan memberi keutamaan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji pada musim haji 1446H/2025M.
“Para pendeposit TH boleh memuat turun aplikasi THiJARI melalui App Store atau Play Store atau melayari laman sesawang www.thijari.com.my untuk mengetahui proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. -MalaysiaGazette