KUALA LUMPUR – Seorang pesara wanita mengalami kerugian hampir RM2.9 juta akibat tertipu dengan skim pelaburan palsu dikenali sebagai ‘P Trade Pro’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bekas penjawat awam itu tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dilihatnya melalui Instagram pada Oktober lalu.
“Dia kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera dalam iklan tersebut dan dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp untuk mempelajari lebih lanjut tentang skim pelaburan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ramli, melalui kumpulan tersebut, mangsa diberikan panduan mengenai pelaburan berkenaan dan diarahkan membuat pembayaran ke beberapa akaun bank.
Wanita berusia 68 tahun itu kemudiannya membuat 34 transaksi pindahan wang ke lapan akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM2,923,836.
“Skim itu menjanjikan pulangan pelaburan lumayan dan mangsa dikatakan bakal menerima keuntungan bernilai RM6 juta hanya dalam tempoh tiga hari selepas melabur.
“Bagaimanapun, sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan,” ujarnya.
Susulan itu, mangsa telah membuat satu laporan polis pada 12 Disember lalu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette