KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan pemilik akaun Tik Tok, Rayyan Wong yang ditahan kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor dan Perdana Menteri telah dibebaskan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan lelaki berusia 22 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Menurutnya, permohonan reman terhadap lelaki itu ditolak mahkamah susulan pempengaruh itu telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok miliknya.
Mahkamah menolak permohonan reman terhadap lelaki itu kerana dia sudah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok @ryan_wong5845 tiga hari lalu.
“Justeru, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan namun siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Razarudin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih diteruskan.
“Setelah siasatan lengkap, kita akan rujuk Jabatan Peguam Negara (AGC),” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemilik akaun Tik Tok ditahan selepas mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi Diraja dan Perdana Menteri baru-baru ini.
Razarudin dilaporkan berkata, tangkapan suspek dilakukan di kediamannya di Johor, kelmarin dan turut merampas telefon pintar jenis Galaxy Z Flip 5 milik suspek.
Ujarnya, kandungan terbabit bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi diraja.
Dalam pada itu, Rayyan Wong terbabit turut membuat permohonan maaf di akaunnya kerana mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Pemangku Sultan Johor serta Perdana Menteri.
“Geng, saya minta maaf pasal kenyataan makan di restoran tiada sijil halal tu rupanya ia ada sijil halal. Sekali lagi saya minta maaf kekhilafan sendiri kerana tidak buat kajian lebih lanjut.
“Saya dah turunkan video itu, yang sekarang sudah cecah dua juta orang tengok (tontonan). Saya akan lebih berhati-hati selepas ini dan tidak sebarkan fitnah,” katanya. – MalaysiaGazette