Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim beramah mesra sebahagian tetamu yang hadir pada majlis Manifestasi Tiga Seni di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada malam ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 18 DISEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Seni seharusnya bergerak dengan bebas dan disemarakkan, termasuk yang bersifat kritikal terhadap kekuasaan dan dalam apa jua bentuk, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, seni sebagai wahana yang menyatukan semestinya menjadi sisi penting dalam usaha membangun serta membina bangsa.

“Semangat negara yang madani menganjur serta memupuk nilai daya cipta dan kreativiti, dan kita sebagai masyarakat harus menghayati dan meraikannya agar negara ini berjaya dan melonjak,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, malam tadi, Anwar menghadiri majlis Malam Manifestasi Tiga Seni yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Majlis itu menyaksikan tiga acara utama dipersembahkan iaitu pameran karya seni halus daripada tujuh seniman visual tempatan, deklamasi puisi oleh tokoh-tokoh sastera negara serta persembahan muzik daripada artis terkenal tanah air.

Acara itu juga diadakan sebagai kesinambungan kepada acara yang sama yang pertama kali digerakkan lewat 1970-an sebagai sebahagian daripada kerangka melonjak negara selepas tragedi hitam 13 Mei.

Sepanjang hampir dua jam majlis itu berlangsung, Anwar dan kira-kira 500 hadirin dihiburkan dengan penyampaian deklamasi puisi oleh tokoh sasterawan negara dan nyanyian oleh artis terkenal tanah air.

Antara yang menyampaikan puisi ialah barisan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan; Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Rahman Shaari serta Sasterawan Negeri Sarawak, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.

Majlis tersebut turut menyaksikan kemunculan istimewa Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyampaikan puisi menerusi tontonan video.

Antara artis tempatan yang menyumbangkan lagu pada majlis itu pula ialah Datuk Ramli Sarip, Asmidar dan Azizul Haqim. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here