Karya agung Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai sejarah Melayu akan dipentaskan sepenuhnya melalui teater purbawara selama tiga hari bermula esok sehingga Ahad ini yang diadakan di Auditorium Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ayer Keroh mencipta sejarahnya tersendiri.

MELAKA – Buat pertama kalinya, karya agung Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai sejarah Melayu akan dipentaskan sepenuhnya melalui teater purbawara bermula dari Raja Iskandar Zulkarnain hingga jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka pada 1511.

Pengarah teater Siti Rohayah Attan berkata, persembahan selama tiga hari bermula esok sehingga Ahad ini yang diadakan di Auditorium Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ayer Keroh mencipta sejarahnya tersendiri.

Siti Rohayah Attan

Menurutnya, ini kerana ia adalah kali pertama persembahan teater berbentuk purbawara muzikal Sulalatus Salatin dipentaskan sepenuhnya dan bukanlah hanya mengambil sebahagian kisah tertentu untuk dihidangkan kepada penonton.

“Ini adalah naskah paling berat dan JKKN Melaka telah memilih Sulalatus Salatin yang belum pernah dalam sejarah dipentaskan secara keseluruhan dari zaman Sultan Iskandar hingga ke Kesultanan Melayu Melaka.

“Biasanya sejarah Melayu ini dipentaskan seperti bahagian Hang Tuah, Tun Perak tapi kali ini tidak dan kita berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyokong usaha ini apabila hampir 2,000 tiket sudah terjual.

“Persembahan selama 90 minit ini melibatkan 120 kru produksi termasuk 60 pelakon berusia antara empat hingga 70 tahun hasil kerjasama Persatuan Gerakan Seni Anak Seni, CTRA Production, JKKN Melaka serta sokongan dana Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2024,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Persembahan selama 90 minit melibatkan 120 kru produksi termasuk 60 pelakon berusia antara empat hingga 70 tahun.

Tambahnya, teater purbawara muzikal ini menyasarkan untuk menarik minat golongan muda yang disesuaikan dengan penggunaan lenggok bahasa Melayu lama tetapi mudah difahami, berbeza dengan konsep teater bangsawan.

“Kita nak cerita pada generasi baru, kita adalah bangsa hebat dan janganlah bertelagah antara satu sama lain seperti mana berlaku dalam sejarah kita hancur kerana bangsa sendiri dan bukanlah kerana orang luar.

“Watak-watak Si Kitol dan Raja Mendeliar, Sang Rajuna Tapa adalah adalah contoh kepada perasaan kecewa, fitnah dan khianat meruntuhkan Kota Singapura.

“Semuanya dipentaskan selama satu jam 30 minit melalui empat persembahan iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad ini,” katanya.

Siti Rohayah berkata, setakat ini hanya terdapat kira-kira 50 lagi tiket untuk persembahan berkisar kemaharajaan maritim di Selat Melaka itu, dengan harga bermula RM34, 54 dan RM84.

Karya agung Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai sejarah Melayu akan dipentaskan sepenuhnya melalui teater purbawara selama tiga hari bermula esok sehingga Ahad ini yang diadakan
di Auditorium Panggung Seri, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ayer Keroh mencipta sejarahnya tersendiri.

Menurutnya, Norish Karman yang memegang watak Embok Ayu adalah antara pelakon dalam naskhah ini yang telah diiktiraf sebagai Memori Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2012 serta sudah mencecah 32 salinan di seluruh dunia.

Teater ini menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan.

Ia turut membawa Kisah Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, Kisah Tun Jana Khatib di Temasek, Kebijaksanaan Hang Nadim sewaktu Singapura Dilanggar Todak, Kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Kisah Kesultanan Melayu Melaka Zaman Gemilang hinggalah runtuhnya Empayar Melaka.

Artis membuat latihan persembahan.

Selain Siti Rohayah Attan, penyedia skrip dibarisi panelnya Siti Jasmina Ibrahim dan Ezee Klasik serta penataan audio dan muzik oleh Asry Hasan, koreografi A Aris Kadir serta Siso untuk susunan kata berangkai bagi memboleh penghayatan dan estetikanya sampai kepada penonton.

Sulalatus Salatin adalah diperakui sebagai satu sumber terkaya dan lengkap yang menceritakan tentang sejarah asal usul Raja-raja di Nusantara.

Terdapat berbagai-bagai peristiwa yang telah tercatat dalam karya ini seperti salasilah raja-raja, kepahlawanan, perjuangan, kasih sayang dan sebagainya yang menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu di zaman silam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here