KUALA LUMPUR – Wanita MCA Sabah menyifatkan adalah tidak adil untuk merobohkan kediaman keluarga Allahyarham Sarjan Abdul Azis Sarikon, wira negara yang terkorban dalam serangan puak Sulu tanpa disusuli dengan bantuan dan alternatif lain.
Ketuanya, Datuk Dr. Pamela Yong berkata, pihak berkaitan perlu meneliti keadaan sosioekonomi keluarga Abdul Azis terlebih dahulu selepas kematian insan yang sebelum ini mejadi ketua keluarga buat mereka.
Ujarnya, keluarga Abdul Azis pastinya terkesan dengan pemergian Allahyarham dan melalui 11 tahun kehidupan selepas tragedi berdarah itu dengan penuh kesukaran.
“Justeru, Kerajaan Pusat, kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan perlu melakukan sesi rundingan serta perbincangan dengan balu dan waris bagi mencari jalan penyelesaian terbaik sekali gus mengurangkan penderitaan yang mereka tanggung setelah kehilangan ketua keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Pamela, kerajaan seharusnya menyediakan penempatan yang sesuai atau memberikan bantuan lain yang dapat mengurangkan beban keluarga bagi menghargai jasa dan pengorbanan perwira negara seperti Abdul Azis mempertahankan tanah air dengan nyawa mereka.
Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan dapat menangani isu itu dengan lebih sensitif dan memberi sokongan yang diperlukan kepada balu dan keluarga wira negara berkenaan.
“Ungkapan mengenang jasa dan pengorbanan wira-wira negara ini jangan hanya meniti di bibir semata-mata, tetapi buktikanlah walaupun mereka telah tiada,” katanya.
Abdul Azis merupakan antara enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap oleh pengganas bersenjata di Kampung Simunul, Semporna pada 2013.
Bagaimanapun, hari ini, iaitu selepas 11 tahun tragedi itu berlaku, isterinya yang dikenali sebagai Sitti Bandorah, terpaksa merayu supaya rumah mereka di perkampungan air di Pulau Bodgaya, Semporan tidak dirobohkan.
Menurut laporan media semalam, Sitti Bandorah berkata, anggota dari pelbagai agensi termasuk polis dan Taman Sabah, datang ke kampung mereka dan mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing. – MalaysiaGazette