JOHOR BAHRU – Seorang bekas tukang masak dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan membunuh seorang lelaki di hadapan sebuah kondominium dekat Plentong di sini enam tahun lalu.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Calvin Phua Kim Hau, 27, pada akhir kes pendakwaan.
Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaaan gagal membuktikan kematian mangsa disebabkan oleh kecederaan yang dilakukan tertuduh.
“Mahkamah ini telah menimbangkan secara maksima keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan dan setelah menghalusi hujahan bertulis pihak-pihak, mahkamah ini berpuas hati bahawa kecederaan tubuh badan pada si mati mencukupi dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.
“Mahkamah berpendapat keterangan dua orang saksi pendakwaan tidak secara positif mengesahkan tertuduh yang melakukan tikaman ke atas si mati.
“Sekadar kehadiran tertuduh di tempat kejadian tanpa perlakuan lainnya tidak mencukupi untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan yang berlaku,” hujahnya.
Sebelum ini, Calvin didakwa membunuh John Liew Yuan yang ketika kejadian berusia 24 tahun di hadapan pos pengawal sebuah kondominium di Jalan Masai Jaya, Plentong di sini pukul 2.30 pagi pada 3 Jun 2018.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Seramai 13 saksi dikemukakan pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali sepanjang prosiding perbicaraan sejak 2022 dan Calvin diwakili peguam Mohd Daud Ismail.
Pada prosiding hari ini, Calvin yang kelihatan ceria selepas mendengar keputusan itu ditemani rakan-rakan yang hadir ke mahkamah seawal pukul 8.30 pagi.- MalaysiaGazette