UTeM berkongsi kepakaran dan menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Prym Consumer Malaysia Sdn Bhd, baru-baru ini,

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkongsi kepakaran dan menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Prym Consumer Malaysia Sdn Bhd baru-baru ini,

Pemeteraian MoU telah disempurnakan di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal yang mana UTeM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Akademik UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim manakala Prym Consumer diwakili oleh pengarah urusannya, Mohamad Hanif Mohamad Isa.

Dr Zulkifilie berkata, kerjasama itu memberi impak kepada aspek kecemerlangan akademik dan meneruskan momentum hubungan strategik dengan industri dalam pelbagai bidang, termasuk penempatan pelajar dan staf di industri menerusi skim sangkut industri.

“Pada masa yang sama ia turut menjadi pemangkin kepada pertambahan peluang latihan industri, pembelajaran berasaskan kerja (WBL), projek latihan dan perundingan, projek tahun akhir serta inisiatif geran padanan.

“Kami percaya usaha seperti ini penting dalam melengkapkan graduan dengan kemahiran dan pengalaman yang relevan di samping memperkukuh hubungan universiti dan industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut menunjukkan komitmen terhadap kerjasama ini ialah Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP), Profesor Ir. Dr. Hambali bin Arep @ Ariff, yang bertindak sebagai penasihat projek.

Beliau menekankan pentingnya kolaborasi itu sebagai platform untuk memperluaskan peluang inovasi dan penglibatan pelajar dan staf dalam projek industri sebenar kerana ia antara keunikan dan kekuatan UTeM.

Sementara itu, dalam konteks Prym Consumer pula, Mohamad Hanif menegaskan, MoU  membuka lembaran yang membawa makna besar kepada pihak industri dalam usaha komprehensif membentuk modal insan berkualiti.

“Kami merasa teruja dan berbesar hati untuk menjayakan agenda kerjasama strategik bersama UTeM dalam menjalankan penyelidikan bersama, sejajar dengan kemajuan teknologi terkini sekaligus menyuntik kemajuan inovasi industri yang memberikan impak langsung kepada komuniti dunia,” ujarnya.

Prym Consumer merupakan syarikat multinasional yang berpengkalan di Jerman, pelopor dalam industri pembuatan peralatan jahitan yang mana pasarannya seluruh dunia dan telah beroperasi lebih 50 tahun di Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here