BENTONG – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengesyorkan pengurusan FELDA diletakkan dibawah seliaan Timbalan Perdana Menteri.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata dengan cadangan tersebut bermakna FELDA tidak akan berada di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah seperti yang disyorkan sebelum ini.
“Saya akan kemukakan pada Perdana Menteri dahulu dan saya sendiri akan bawa ke Kabinet apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersetujuinya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks Lateks Agropolitan Chemomoi, Bentong hari ini.
Hadir sama adalah Manndzri Nasib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Jelas Ahmad Zahid, perkara itu diputuskan dalam program Pemukiman Felda, Selasa lalu.
“Itu keputusan daripada pemukiman yang diadakan baru-baru ini, namun dari segi pentadbirannya, pengurusan Felda ini diletakkan di bawah TPM (Timbalan Perdana Menteri), bukan bawah KKDW, ini dua perkara yang berbeza.
“Jadi, keputusan pemukiman supaya penyelarasan dapat dibuat sebaiknya,” katanya lagi.
Sebelum ini, terdapat cadangan agar FELDA dikawal selia KKDW bagi memudahkan koordinasi dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).
Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan.
Dr. Zaliha dilaporkan berkata, pihaknya mengambil kira pandangan berkenaan namun ia memerlukan perbincangan secara khusus dengan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Kabinet. – MalaysiaGazette