SEOUL: Sekurang-kurangnya 100 askar Korea Utara yang dikerahkan untuk menyokong usaha perang Rusia di Ukraine terbunuh sejak memasuki pertempuran pada bulan Disember, kata seorang Ahli Parlimen Korea Selatan.
Pyongyang telah menghantar beribu-ribu tentera untuk mengukuhkan tentera Rusia, termasuk ke wilayah sempadan Kursk, lokasi tentera Ukraine merampas wilayah tahun ini.
“Pada bulan Disember, mereka (tentera Korea Utara) terlibat dalam pertempuran sebenar, dengan sekurang-kurangnya 100 kematian berlaku,” kata Lee Seong-kweun selepas taklimat oleh agensi perisik Korea Selatan.
“Perkhidmatan Perisikan Negara (NIS) juga melaporkan jumlah yang cedera dijangka mencecah hampir 1,000.”
Di sebalik kerugian itu, agensi itu juga berkata, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dikesan sedang bersiap sedia untuk melatih pasukan operasi khas baharu untuk menghantar ke arah barat.
Lee menyatakan Kor Elit Korea Utara mempunyai “kapasiti untuk menghantar bala bantuan”.
NIS juga meramalkan “Rusia mungkin menawarkan faedah timbal balik” untuk penempatan baharu, kata Lee, termasuk “memodenkan persenjataan konvensional Korea Utara”.
Ahli Parlimen itu menambah, “beberapa askar Korea Utara yang terkorban’ dikaitkan dengan serangan peluru berpandu dan dron Ukraine serta kemalangan latihan, dengan kedudukan tertinggi “sekurang-kurangnya pada peringkat jeneral”.
NIS berkata, jumlah korban yang tinggi boleh dikaitkan dengan “persekitaran medan perang yang tidak dikenali, yang mana tentera Korea Utara digunakan sebagai unit serangan barisan hadapan dan kekurangan keupayaan mereka untuk menentang serangan dron”, kata Lee. – Agensi