KUALA LUMPUR- Kerajaan, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) serta hospital swasta akan memberikan sumbangan sebanyak RM60 juta untuk mempercepat pembaharuan kesihatan.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, ini termasuk pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group dan penyiaran kos prosedur perubatan lazim bagi meningkatkan ketelusan.
Selain itu, sebahagian daripada dana tersebut juga akan digunakan untuk menyokong pembangunan produk asas insurans dan takaful kesihatan dan perubatan (MHIT) yang meliputi keperluan penjagaan kesihatan penting.
Ia juga akan memudahkan pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas membuat pertukaran kepada produk asas baharu apabila ditawarkan.
Tambahnya, BNM dan semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kesihatan, hospital swasta dan ITO komited untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama dalam usaha mengawal inflasi kos perubatan dengan berkesan.
Usaha itu termasuk pemakluman yang lebih telus tentang harga ubat-ubatan, kemajuan usaha pendigitalan bagi membolehkan perkongsian rekod perubatan elektronik yang akan mengurangkan keperluan pesakit untuk menjalani ujian yang sama berulang kali dan pembelian secara strategik oleh sektor swasta dan awam bagi mengurangkan kos.
“Kemajuan langkah-langkah ini akan dipantau bagi memastikan hasil yang dihasratkan iaitu pengurangan inflasi kos perubatan akan dicapai. Hal in juga penting untuk peralihan ke arah penyediaan produk MHIT yang mampan pada masa hadapan.
“Perkara ini akan diambil kira dalam kajian semula langkah-langkah interim ini secara berkala yang akan dilaksanakan oleh BNM seiring dengan pencapaian pembaharuan dalam ekosistem penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan berhubung langkah interim bagi membantu pemegang polisi kesihatan dan perubahan yang terkesan akibat perubahan premium insurans dan takaful masing-masing.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, punca-punca utama kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan yang didorong oleh kos perubatan dan penggunaan perkhidmatan perubatan yang lebih tinggi perlu ditangani.
Tambah beliau, produk MHIT juga perlu ditambah baik untuk menjadikan produk tersebut lebih mampan dan selaras dengan penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based healthcare) yang mengutamakan hasil kesihatan yang lebih baik.
“Hal ini merupakan cabaran rumit yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penjagaan kesihatan. Langkah-langkah interim yang kami umumkan pada hari ini akan memberikan sokongan sementara kepada pemegang polisi.
“Namun, pembaharuan kesihatan yang lebih meluas perlu dipercepat berserta komitmen untuk mencapai hasil yang jelas bagi tahun-tahun akan datang. Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan yang berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan, hospital swasta dan ITO.
“Semua pihak memberikan sokongan dan komited bagi mendapatkan penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu yang rumit ini,” katanya.
Kos penjagaan kesihatan di Malaysia telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lalu dengan inflasi kos perubatan mencecah 15 peratus tahun ini.
Jumlah itu lebih tinggi daripada purata global dan purata Asia Pasifik iaitu 10 peratus.
Peningkatan itu didorong oleh faktor seperti kemajuan teknologi perubatan serta peningkatan penyakit tidak berjangkit menyebabkan meningkatnya permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Kesannya, tuntutan yang dibayar oleh ITO telah meningkat lebih pantas berbanding dengan premium yang dikumpulkan.
“Meskipun ITO memperuntukkan rizab untuk menampung peningkatan pembayaran tuntutan perubatan yang tidak dijangka, rizab ini tidak mencukupi sekiranya kos tuntutan terus melebihi anggaran.
“Oleh itu, premium produk MHIT perlu dilaraskan secara berkala bagi memastikan tuntutan pemegang polisi dapat terus dipenuhi,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette