KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan beberapa langkah interim untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT).
Katanya, langkah-langkah tersebut telah dipersetujui pemain industri insurans dan takaful.
Langkah interim pertama adalah penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) akan melaksanakan perubahan premium yang diagihkan (spread out) disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang- kurangnya tiga tahun kepada semua pemegang polisi yang terkesan disebabkan oleh penetapan semula premium.
Langkah ini akan dilaksanakan sehingga akhir tahun.
Menerusi langkah ini, sekurang- kurangnya 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium tahunan yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan sebanyak kurang daripada 10 peratus.
“Bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum bagi produk MHIT yang dibeli, ITO akan menangguhkan pelarasan premium yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan untuk sementara waktu iaitu selama satu tahun dari ulang tahun polisi mereka,” kata bank pusat itu dalam kenyataan hari ini.
Langkah-langkah interim di atas bagaimanapun tidak terpakai pada kenaikan premium yang boleh dikenakan apabila pemegang polisi beralih ke kategori umur yang lebih tinggi.
Hal ini akan diuruskan secara berasingan oleh ITO.
Dalam pada itu, pemegang polisi yang telah menyerahkan polisi atau polisi MHIT mereka telah luput pada tahun 2024 disebabkan oleh penetapan semula premium ini boleh menghubungi ITO masing-masing untuk memohon polisi mereka diaktifkan semula berdasarkan premium yang dilaraskan menerusi langkah ini tanpa keperluan pengunderaitan (underwriting) tambahan.
Semua ITO juga akan menyediakan produk MHIT alternatif yang bersesuaian pada premium yang sama atau lebih rendah bagi pemegang polisi yang tidak berminat untuk meneruskan pelan MHIT mereka yang sedia ada dan yang premiumnya telah ditetapkan semula.
ITO yang tidak menyediakan produk alternatif yang sesuai pada masa ini hendaklah menawarkan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada hujung tahun.
Pertukaran kepada produk MHIT alternatif tidak akan memerlukan sebarang pengunderaitan (underwriting) tambahan atau melibatkan apa-apa kos pertukaran. Langkah ini, bersama-sama dengan pembaharuan lain bagi membendung inflasi kos perubatan, akan mengelakkan pelarasan premium yang tinggi pada masa hadapan.
Makluman berkenaan dengan langkah-langkah ini oleh ITO kepada pemegang polisi individu akan dilaksanakan secara berperingkat. Pemegang polisi juga boleh menghubungi ITO masing-masing mulai 15 Januari 2025.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Kos penjagaan kesihatan meningkat 1.4%, kenapa premium insurans hendak dinaikkan hingga 70%