Gerakan Media Merdeka (Geramm)

KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (GERAMM) melahirkan kebimbangan dari sudut kebebasan bersuara dan media berhubung penggantian istilah jelik kepada `jelik melampau’ dalam pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

GERAMM dalam satu kenyataan berkata, istilah `jelik melampau’ itu memerlukan perbahasan terbuka melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk masyarakat sivil, pengamal media dan badan hak asasi manusia.

Menurutnya, istilah itu perlu diperhalusi dengan mendalam kerana definisinya yang tidak muktamad dan tidak jelas membuka ruang kepada salah guna kuasa.

“Persoalan utama ialah apakah kriteria yang digunakan untuk menentukan sesuatu kandungan sebagai `jelik melampau’?

“Jika perkara ini tidak dijelaskan, tafsirannya mungkin terlalu luas, sehingga kandungan kritikal terhadap kerajaan atau institusi boleh diklasifikasikan sebagai melampau hanya kerana ia tidak disenangi oleh pihak tertentu,” demikian menurut kenyataan itu semalam.

Menurut GERAMM, tanpa takrifan yang konkrit, tafsiran terhadap istilah ini bergantung sepenuhnya kepada budi bicara pegawai penyiasat, pendakwaan dan mahkamah, yang boleh dipengaruhi oleh tekanan politik, agenda tertentu atau persepsi subjektif.

Tambahnya, ketidakpastian berkenaan istilah itu juga boleh menimbulkan risiko besar termasuk potensi tindakan undang-undang yang tidak konsisten dan penggunaan kuasa untuk menyekat pandangan kritikal.

Katanya, ia juga boleh mencetuskan budaya ketakutan dalam kalangan rakyat, media dan pengguna media sosial yang mana mereka mungkin memilih untuk menjauhkan diri bagi mengelak risiko pendakwaan.

“Situasi seperti ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

GERAMM turut mengambil contoh kes melibatkan aktivis Fahmi Reza yang sering menggunakan platform media sosial untuk mengkritik institusi dan dasar yang sebelum ini mendapat sokongan daripada pemimpin tertentu yang kini berada dalam kerajaan.

Namun, ujarnya, tindakan undang-undang terhadap beliau menunjukkan betapa undang-undang yang kabur dan tidak jelas boleh digunakan untuk menekan sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang politik mereka.

“Kes seperti ini menonjolkan betapa bahayanya pindaan undang-undang tanpa definisi yang jelas dan proses konsultasi yang inklusif,” tambahnya.

Sebagai langkah ke hadapan, katanya, GERAMM mendesak kerajaan untuk lebih telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan pindaan undang-undang ini.

“Penubuhan Majlis Media Malaysia juga perlu disegerakan untuk memastikan isu seperti ini dapat diuruskan dengan cara yang lebih bebas, adil, dan profesional.

“Pindaan undang-undang seperti ini seharusnya bertujuan melindungi rakyat, bukan untuk menyekat hak mereka bersuara atau mempertahankan kebenaran,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here