Oleh: Dr. Abd. Aziz Rekan
PENILAIAN merupakan elemen penting yang ditekankan dalam al-Quran kerana Allah SWT menilai setiap perbuatan manusia sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. Proses ini bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan dan keadilan Allah, tetapi juga menjadi panduan bagi manusia untuk memperbaiki diri dan melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.
Dalam konteks pendidikan, konsep penilaian amat relevan kerana ia bertujuan mengukur pencapaian murid secara menyeluruh, meliputi aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Penilaian yang dirancang dengan teliti dan sistematik berupaya membantu murid mengembangkan potensi mereka sepenuhnya serta mencapai matlamat pendidikan yang lebih luas.
Dalam al-Quran, istilah seperti al-hisab (perhitungan), al-bala (ujian), mumtahanah (pemeriksaan), fatanna (menguji), dan wazan (penimbangan) digunakan untuk menekankan konsep penilaian yang berasaskan ketepatan, integriti, dan ketelusan. Firman Allah SWT:“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung -(Surah Al-Anbiya’, 21:47).
Iktibar daripada ayat ini wajar diaplikasikan dalam sistem pendidikan masa kini untuk memastikan murid dinilai secara objektif, selain mengelakkan kekeliruan akibat kelemahan instrumen atau pendekatan penilaian. Dengan mengambil inspirasi daripada al-Quran, sistem penilaian di sekolah boleh diperkasakan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid, seterusnya membantu mereka menjadi individu yang seimbang dari segi akademik dan akhlak.
Sistem penilaian murid di sekolah, khususnya yang berasaskan peperiksaan, memainkan peranan penting dalam mengukur pencapaian murid. Namun, kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap keputusan akhir sering menyebabkan tekanan yang tidak perlu, terutamanya apabila murid cuba memenuhi jangkaan keluarga dan masyarakat. Tekanan ini, jika dilihat dari sudut positif, boleh menjadi peluang untuk menambah baik sistem penilaian supaya lebih seimbang dan bersifat mendidik, sejajar dengan pandangan Islam bahawa ujian adalah sebahagian daripada pendidikan dan pembentukan diri.
Firman Allah SWT: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” -(Surah Al-Baqarah, 2:155). Hal ini mengingatkan bahawa cabaran adalah sebahagian daripada kehidupan untuk menguji daya tahan dan kesungguhan manusia.
Bagi menangani cabaran ini, pendekatan penilaian yang holistik perlu diaplikasikan, yang tidak hanya menilai pencapaian akhir tetapi juga memberi pengiktirafan kepada usaha murid sepanjang proses pembelajaran. Firman Allah SWT:“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri -(Surah Ar-Ra’d, 13:11).
Ayat ini menegaskan pentingnya usaha berterusan sebagai asas kepada perubahan. Prinsip ini boleh diterapkan dalam sistem pendidikan dengan menilai kemajuan murid secara holistik, memastikan usaha mereka dihargai dan diberi perhatian sewajarnya. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan murid, tetapi juga mendorong mereka untuk terus berusaha dan berkembang sepanjang proses pembelajaran.
Sehubungan itu, hal ini bertepatan dengan konsep penilaian formatif iaitu suatu penilaian yang dibuat secara berterusan. Penilaian ini selaras dengan prinsip al-Quran, seperti firman Allah SWT: “Dan barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya)& (Surah Az-Zalzalah, 99:7).
Ayat ini mengingatkan bahawa walaupun usaha kecil, ia tetap bernilai dan wajar dihargai. Dalam konteks pentaksiran bilik darjah, penilaian formatif memainkan peranan penting dengan memberi maklum balas berterusan kepada murid, membantu mereka mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki pencapaian secara progresif. Kaedah ini membolehkan guru memantau perkembangan murid secara dekat, sementara murid pula diberikan ruang untuk memperbaiki diri sebelum menghadapi penilaian akhir, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna dan kurang berfokus kepada tekanan keputusan semata-mata.
Penilaian sumatif pula berfungsi sebagai penilaian akhir terhadap pencapaian murid. Konsep ini boleh dikaitkan dengan firman Allah SWT: “Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan bermacam-macam, untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) segala amalannya" (Surah Az-Zalzalah, 99:6). Ayat ini menegaskan kepentingan menilai hasil secara menyeluruh, yang boleh menjadi inspirasi kepada pendekatan penilaian akhir dalam pendidikan. Dalam konteks sekolah, peperiksaan akhir digunakan untuk mengukur tahap penguasaan murid terhadap pembelajaran yang telah dilalui dalam satu tempoh
tertentu.
Walau bagaimanapun, sebelum peperiksaan dilaksanakan, memastikan silibus atau kurikulum sesuai dengan tahap pembelajaran murid adalah keutamaan. Silibus yang terlalu berat atau tidak selaras dengan keupayaan murid akan menjadikan proses pembelajaran mencabar dan peperiksaan lebih membebankan. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Al-Baqarah, 2:286). Ayat ini menekankan bahawa setiap tanggungjawab harus disesuaikan dengan kapasiti individu. Oleh itu, silibus yang dirancang dengan mengambil kira tingkat pembelajaran murid akan menjadikan proses penilaian lebih bermakna, mendorong kefahaman yang mendalam, dan mengelakkan tekanan yang melampau. Pendekatan ini memastikan sistem pendidikan benar-benar mendukung pembelajaran yang seimbang dan berkesan.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya